Jawapan:

Untuk yang sedang dibolak balik hatinya oleh Allah.

Anda sangat banyak melayan perasaan dan sangat sedikit menggunakan pemikiran. Memang wanita sangat kuat dicengkam oleh pengaruh emosi. Namun emosi sahaja tidak akan menukarkan khayalan kepada kenyataan. Anda sebenarnya sedang dilamun kisah silam bersama, hingga anda merasa masih cinta padanya tanpa menyedari yang dia tidak begitu.
  • Buktinya dia sudah ada pengganti dan akan melangsungkan perkahwinan. Ini jelas membuktikan yang dia tidak lagi memikirkan anda langsung.
  • Kenangan bersama anda sudah dikubur dalam lipatan sejarah dan dikunci dalam kotak kisah yang tidak perlu dibuka lagi. Maka adalah sia-sia yang anda masih mengenangnya.
  • Betapa pun dalamnya rindu anda padanya, itu adalah rindu sepihak, ibarat pungguk rindukan bulan. Bulan tetap mengambang tanpa memikirkan ada pungguk di bumi yang merinduinya.
Oleh itu ,belajarlah menganalisa perasaan anda dan memujuk agar perasaan dan pemikiran menerima hakikat bahawa orang yang anda kenang itu bukan lagi milik anda. Malah tidak akan menjadi milik anda selamanya.
Kuburkanlah ingatan dan simpanlah kenangan anda sebagai kisah silam yang sudah berangkat dari hidup anda. Jika diteruskan juga anda ibarat mimpi di siang hari. Adalah lebih beruntung untuk beri perhatian pada orang yang ada di hadapan anda kerana dengan cara sedemikian fikiran dan perasaan anda akan terisi episod kisah baru dan lama kelamaan akan memadamkan kisah anda bersama dia.

Jangan membawa kisah silam ke masa hadapan. Kerana cara ini akan membunuh masa depan anda yang masih panjang. Anggaplah itu satu mimpi semalam untuk mainan tidur saja. Adalah membuang masa dan kekuatan untuk mengenang dan memuja, merindui dan mencemburui orang yang sudah tidak ada di sisi kita. Jangan bodohkan diri dan buang usia anda. Mungkin Allah mahu anda membina hidup baru dengan orang lain yang mungkin lebih baik dari yang hilang. Oleh itu sibukkan diri dan dekatkan diri dengan Allah agar anda dapat menerima ketentuan bahawa jodoh anda hanya setakat itu sahaja. Dan Allah juga mahu anda belajar dari kisah silam agar dapat membina kehidupan yang lebih baik supaya kita tidak membiarkan pisang berbuah dua kali, atau jatuh ke lubang buaya dua kali. Carilah ganti agar hati dan persaan terisi dengan baik dan anda lebih terfokus dalam hidup.